Nepotisme Dalam UMNO wajar dibanteras

Mesyuarat pemilihan UMNO peringkat bahagian sudah masuk ke minggu yang ketiga. Ini bermaksud hanya tinggal lebih kurang 1 minggu sahaja lagi sebelum ia menjadi titik penentu kepada siapa yang bakal layak bertanding. Dan siapa pula yang bakal tersungkur di tengah jalan kerana tidak cukup kuota.

Pada yang sudah melepasi kelayakkan bertanding, pasti akan menarik nafas lega dan bagi yang belum akan mencuba sedaya upaya untuk melobi para perwakilan bahagian mencalonkan namanya.

Dalam pada itu, teman agak tertarik untuk mengulas apabila melihat senarai calon bagi jawatan naib ketua Wanita, Pemuda dan Puteri. Ini kerana, apabila melihat senarai calon tersebut penulis merasakan telah ada cubaan untuk menjadikan UMNO sebagai milik keluarga atau dalam bahasa moden ‘nepotisme‘.

Sekiranya kita lihat semasa zaman Mahathir memerintah UMNO dahulu, beliau secara terbuka menghalang anak-anaknya dari menduduki jawatan tertinggi UMNO. Atas alasan untuk mengelakkan ‘cakap-cakap belakang’ dan sebagainya. Tujuan Tun ada asasnya, kerana beliau tidak mahu dikaitkan mengunakan kedudukan dan kuasanya untuk kepentingan peribadi.

Sebab itu, kalau kita lihat sepanjang Tun memerintah, anak-anaknya seperti Mohkzani dan Mukhriz kurang menyerlah di dalam bidang politik. Mereka hanya menonjol apabila Tun tidak lagi menguasai UMNO. Begitu juga dengan pemimpin sebelum ini, seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Hussien Onn, Tun Abdul Razak, dan sebagainya.

Kaum kerabat mereka hanya menonjol apabila mereka tidak lagi memegang tampuk pemerintahan parti. Di dalam Islam sendiri juga tidak mengalakkan perkahwinan sesama saudara. Kerana ada yang berpendapat ia bakal mengakibatkan anak yang bakal dilahirkan kurang cerdik dan pintar.

Pasti ada sebabnya, mengapa Islam dan pemimpin menolak budaya ‘nepotisme’. Ini kerana budaya ini lebih banyak buruk berbanding baiknya. Maka ahli UMNO yang bijak wajar dan seharusnya menolak budaya ini dari terus menular dan menjangkiti UMNO.

Namun apa yang terjadi sekarang ini amat berbeza dengan dahulu. Sekarang ini kecenderungan ‘nepotisme’ sudah mula menular kembali di dalam UMNO. Sebagai contoh pemilihan Khairy untuk jawatan Naib Ketua Pemuda dilihat sebagai satu kesilapan yang maha besar buat UMNO. Ini kerana kedudukan Khairy di dalam pemuda di lihat sebagai salah satu punca kepada masalah yang menimpa Pak Lah tika ini.

Walaupun berkali-kali Pak Lah menafikan penglibatan Khairy dalam urusan pentadbiran, namun ia gagal mempengaruhi rakyat. Khairy masih di label sebagai ‘Raja Tingkat-4’ tambahan pula status Naib Ketua Pemuda dilihat begitu kuat untuk menyangkal tuduhan yang dilemparkan.

Natijahnya, pada pilihanraya yang lepas Barisan Nasional dilanda ‘tsunami politik’ yang begitu dasyat sepanjang sejarah penubuhan UMNO. Mungkin benar Khairy bukan faktor utama kemerosotan BN, tapi ia tetap menjadi salah satu faktor penyumbang kepada keputusan pilihanraya yang lalu.

Oleh yang demikian, UMNO wajar melihat isu ‘nepotisme’ ini bukan satu isu yang kecil dan boleh dipandang remeh. Ini kerana, bagi menjadikan UMNO terus releven pada pilihanraya akan datang, sebarang faktor yang boleh menyumbangkan kepada kekalahan wajar ditanggani dengan segera.

Berbalik kepada calon untuk jawatan Naib Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri mereka yang dilihat mempunyai talian persaudaraan wajar ditolak dan diketepikan. Sebagai contoh calon Naib Ketua Wanita, Datuk Kamalia Ibrahim adalah merupakan ibu saudara kepada calon Naib Ketua Puteri, Nolee Ashilin Radzi.

Calon Naib Ketua Pemuda pula, Datuk Rizal Merican Naina Merican adalah merupakan suami kepada Datin Ismalina Ismail yang juga merupakan calon untuk Naib Ketua Puteri. Pertalian mereka-mereka yang dimaksudkan ini seharusnya diambil perhatian yang serius oleh para perwakilan. Ini kerana, dalam keadaan sekarang ini, sudah pasti UMNO tidak mampu bertahan sekiranya ‘tsunami politik’ kembali melanda pada pilihanraya akan datang.

Pasti akan ada yang kurang bersetuju dengan penulis, apabila isu ini dibangkitkan. Namun itu bukanlah menjadi persoalan, kerana apa yang penting ahli UMNO seharusnya mengambil contoh pendekatan pemimpin terdahulu. Kepentingan sewajarnya dijadikan keutamaan berbanding kepentingan peribadi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: